Ads

Showing posts with label aplikasi. Show all posts
Showing posts with label aplikasi. Show all posts

Friday, 30 December 2016

Senarai 10 trend teknologi pada 2016


Kurang beberapa hari lagi 2016 meninggalkan kita. Bagi dunia teknologi, ia masih bergerak pantas dengan pelbagai pengumuman sepanjang tahun ini yang meninggalkan kesan secara langsung atau tidak langsung kepada diri masing-masing.
Ia menunjukkan betapa pentingnya teknologi dalam kehidupan seharian dan ia tidak akan berhenti pada tahun ini saja.
Jika pengguna berasakan pelbagai trend teknologi berlaku pada 2016, siap sedia untuk tahun depan yang lebih gempak dan komplikated pada peringkat permulaan, namun ia akan memudahkan kehidupan pada masa depan.
Senarai 10 trend teknologi pada 2016 ini termasuk:
1. Note 7
Semuanya berlaku selepas kira-kira tiga dozen telefon itu yang dikeluarkan selepas hanya tiga minggu, berhadapan isu bateri terbakar atau meletup.
Note 7 sepatutnya memberi persaingan kepada iPhone baru keluaran Apple namun kelebihan itu lupus dan ia membuka peluang kepada syarikat lain untuk memperkenalkan produk mereka terutama ‘flagship’.
Ia menjadi parah apabila kebanyakan syarikat penerbangan melarang penggunaan peranti terbabit dalam pesawat masing-masing sehinggakan harga saham Samsung Electronics Co jatuh ke paras terendah hampir empat tahun.
2. Pokemon Go
Selepas dilancarkan pada 6 Julai 2016, ia memperoleh 75 juta pindah turun dalam tempoh tiga minggu pertama selain hanya mengambil masa lima hari untuk menjadi permainan paling popular di Android.
Ia menjadi popular sehingga Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri membuat kenyataan tidak membenarkan bermain karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan malah beberapa pemandu juga disaman kerana menggunakan telefon bermain Pokemon Go sambil memandu.
3. Silibus pengekodan buat pertama kali diumumkan
Silibus pengekodan dan sains komputer di sekolah mula diperkenalkan di sekolah secara rasmi tahun depan selepas kejayaan program perintisnya yang diterajui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Pendidikan sejak tahun lalu.
Inisiatif terbabit diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood yang memaklumkan program pengekodan terbabit akan dilancarkan kepada murid tahun tiga ke atas sebagai satu daripada pelan pendidikan Malaysia jangka panjang.
Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberi penekanan sama kepada hal berkenaan.
4. Internet untuk segalanya (IoT)
Dengan pertumbuhan peranti boleh pakai dan peranti
pintar lain, IoT dan peranti yang bersambung akan membentangkan cabaran baru untuk rangkaian mudah alih apabila kelajuan pemindahan data tidak akan menjadi satu-satunya kriteria.
Keupayaan prasarana komunikasi tanpa wayar untuk menyokong jumlah ini yang dijangka mencecah sehingga 50 bilion peranti menjelang 2020.
Lihat saja pada bandar pintar, sistem kejuruteraan sosial dan banyak lagi membabitkan penggunaan Internet serta gajet dalam kehidupan seharian.
5. Kenderaan tanpa pemandu
Tesla Motors memperkenalkan model Tesla S menyertai Google dan pesaingnya dalam industri pembuat kereta lumba untuk melancarkan kereta pandu sendiri ke pasaran.
Kereta tanpa pemandu yang akan dikeluarkan syarikat berpangkalan di California itu membolehkan pemandu menyerahkan 90 peratus daripada kawalan kereta kepada sistem komputer kenderaan.
6. Facebook dan VR
Pengasas Facebook dan Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg membuat penampilan khas ketika Persidangan Mudah Alih Sedunia (MWC) 2016 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol untuk mengumumkan kerjasama dengan Samsung mempromosikan penggunaan VR dalam laman sosialnya.
Permulaannya, kini anda boleh melihat sokongan video dalam bentuk 360 darjah dan sudah pasti ciri terbabit menjadi trend pada tahun depan.
7. Dron
Sudah pasti, ia antara Karma vs Mavic Pro. Mavic Pro dilancarkan di Amerika Syarikat dengan berat hanya 743 gram iaitu 83 peratus lebih kecil berbanding model Phantom 4 sebelum ini.
Dron ini mampu beroperasi sehingga 27 minit dan mencapai kelajuan 64 kilometer sejam dengan beberapa sensor baru juga dimuatkan.
GoPro memperkenalkan dron pertama dengan Karma memiliki rekaan yang kompak.
Beg khas yang hadir bersama dron ini seakan-akan beg sekolah biasa yang berisi span penyerap hentakan.
8. Instagram Stories
Popular digunakan bagi Snapchat, Instagram juga memperkenalkan fungsi terbaharu dalam aplikasinya yang dipanggil Instagram Stories.
Fungsi baru di IG ini kerana bukan saja boleh memuat naik gambar, tetapi juga video yang boleh disunting dan diletakkan kesan khas.
Apabila sudah ambil gambar atau video, anda boleh buat kesan khas seperti contengan di atas gambar atau video serta menambah perkataan di atasnya dan ia akan hilang dalam masa 24 jam.
9. Kandungan 360
Selepas produk Ricoh menjadi popular, Samsung membawa masuk kamera Gear 360 yang memungkinkan rakaman imej pada 360 darjah dengan dua lensa jenis ‘fisheye’ di depan dan belakang yang kedua-duanya beresolusi sehingga 30 megapiksel.
Ia dipasangkan dengan aplikasi khas yang memproses imej dan boleh dipindah turun ke YouTube, Facebook atau Google Street View.
Sudah pasti, ia memperluaskan aktiviti pengguna dengan kandungan lebih mewah dan memperlihatkan banyak kreativiti di kalangan mereka.
10. Uber dan Grab
Perbalahan antara pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan, Uber dan Grab masih berlaku tetapi ia antara ciri yang merubah cara pengguna bergerak di bandar serta mengelak kesesakan lalu lintas.
Pada masa sama, ia menjadi sistem pengangkutan baru dan turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menambah sumber pendapatan.

Wednesday, 28 December 2016

5 aplikasi menarik sepanjang 2016


Tahun ini menyaksikan pelbagai perubahan dan kemajuan daripada aspek teknologi termasuk kemunculan ribuan aplikasi baru dengan fungsi berbeza.
Mengakhiri 2016,infolagi4u bakal merangkumkan antara lima aplikasi terbaik 2016 yang mendapat ‘rating’ dan komen terbaik daripada penggunanya.
1. PhotoScan
Kebanjiran laman sosial media seperti Instagram membuatkan ramai anak muda ‘gila’ bergambar sebelum memuat naik foto untuk berkongsi dengan rakan. Untuk mencantikkan foto, ada segelintir daripada mereka menggunakan aplikasi penyuntingan foto dan antara yang menjadi trending adalah PhotoScan.
PhotoScan membenarkan anda membuat penyuntingan agar foto kelihatan lebih realistik selain membenarkan pengguna menyimpan gambar di Google Photos.
2. Quik
Selain penyuntingan gambar, penyuntingan video juga kian menjadi kegemaran remaja sekarang. Quik aplikasi penyuntingan video yang membolehlan pengguna melakukan penyuntingan secara percuma mengikut cara dan gaya diinginkan.
Menyediakan format HD penuh pada pilihan antara 720p dan 1080p, ia turut memudahkan pengguna untuk berkongsi video secara terus ke Instagram, WhatsApp, Facebook dan banyak lagi termasuk teks dan e-mel.
3. Shyp
Memperoleh markah lima bintang, Shyp adalah aplikasi sempurna untuk pengguna yang mencari kenderaan untuk disewa seperti van, lori atau motosikal bagi menguruskan perkhidmatan kurier di bandar utama seluruh dunia.
Dengan tiga langkah mudah, pengguna boleh menghantar barangan dari satu tempat ke satu lokasi lain pada harga berpatutan.
4. Google Trips
Kebiasaannya, percutian akan dirancang beberapa bulan lebih awal supaya tidak timbul masalah ketika hendak bercuti. Bagaimanapun, ada di antara kita yang lebih gemar membuat persediaan saat akhir dan ada yang menerima tugasan untuk ke luar negara antara satu atau dua hari sebelum bertolak.
Untuk memudahkan perjalanan anda, Google Trips bersedia menawarkan khidmat apabila ia berfungsi menawarkan pencarian hotel, kereta sewa, penerbangan dan tempahan restoran untuk memudahkan urusan percutian anda.
Bahkan, ia membantu anda bagi termasuk mendapatkan rancangan harian, mencadangkan aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan berhampiran, cadangan berkaitan makanan dan minuman.
5. Asana
Dalam melaksanakan pekerjaan harian, Asana platform terbaik untuk membantu menguruskan tugasan kumpulan. Merangkumi pelbagai tugasan dan projek untuk perbualan serta pemberitahuan, Asana akan membantu pasukan anda melaksanakan pekerjaan dari awal hingga akhir.
Disyor untuk digunakan bersama G Suite, aplikasi membantu memantapkan tugasan harian ini percuma untuk pengguna iOS, Android dan web.